MyOverseasVote Mendakwa Warga Malaysia di Luar Negara Ditipu dan Dinafikan Hak Mengundi oleh Pengerusi SPR dan Timbalannya yang Menghina Dewan Rakyat dan Rakyat Malaysia, dan Menuntut Mereka Meletak Jawatan Dengan Serta-Merta

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, telah menunjukkan secara jelas bahawa SPR tidak berniat melaksanakan pengundian secara pos dari luar negara untuk warga Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, dan telah menghina Jawatankuasa Khas Parlimen untuk Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC), yang syor-syornya telah diterima oleh Dewan Rakyat:

  • Pada 25 Ogos 2011, lebih daripada setahun lalu, Abdul Aziz mengumumkan bahawa semua warga Malaysia di luar negara akan dapat mengundi secara pos.
  • Pada 1 Disember 2011, PSC mengsyorkan dalam laporan interimnya bahawa semua warga Malaysia di luar negara hendaklah berhak mengundi secara pos, dan syor ini telah diterima oleh Dewan Rakyat.
  • Pada 3 April 2012, PSC telah mengesahkan syor ini dalam laporan akhirnya dan SPR diberi tempoh sehingga tiga bulan untuk membuat pengaturan yang perlu dengan jabatan-jabatan Kerajaan untuk melaksanakan syor ini. Perkara ini pun telah diterima oleh Dewan Rakyat.
  • Pada 11 Julai 2012, setelah terlepas tarikh akhir PSC itu (3 Julai 2012), Abdul Aziz telah memberitahu rakyat Malaysia bahawa “sistem [pengundian secara pos dari luar negara] dapat  dilaksanakan selewat-lewatnya pada bulan September jika kami perlu meminda undang-undang, tetapi mungkin boleh lebih awal lagi (jika pindaan undang-undang tidak diperlukan)” (Malaysian Insider).
  • Pada 14 September 2012, dua bulan selepas itu dan kurang daripada dua minggu sebelum persidangan Dewan Rakyat bulan September akan bermula, Abdul Aziz telah mengatakan bahawa Kamar Peguam Negara “masih mengkaji sama ada pindaan kepada Akta Pilihan Raya diperlukan” sebelum pengundian secara pos dari luar negara dapat dilaksanakan (Bernama/Malaysiakini).

SPR merupakan lembaga yang diamanahkan dengan tugas menyediakan dan menyemak semula daftar mengundi dan menjalankan pilihan raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. SPR mempunyai kakitangan undang-undang sendiri dan mempunyai peruntukkan sebanyak RM700 juta dan diberikan kuasa yang luas untuk membuat peraturan-peraturan oleh Pekara 113(5) Perlembagaan dan oleh Akta Pilihan Raya 1958.

Seksyen-seksyen 15 & 16 Akta tersebut memberikan SPR kuasa untuk “membuat peraturan-peraturan bagi pendaftaran pemilih”, untuk “membuat bagi penjalanan pilihan raya” dan “bagi semua perkara yang bersampingan dengannya”. Peraturan-peraturan ini boleh dibuat oleh SPR dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, dan selepas itu hendaklah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, yang berhak menolaknya. Sub-seksyen  16(n) Akta tersebut secara khususnya memberikan SPR kuasa untuk membuat peraturan-peraturan bagi “menetapkan kemudahan yang hendaklah diadakan bagi pengundian melalui pos  dan orang yang berhak mengundi melalui pos”.  

Apakah SPR, dengan kakitangan undang-undang sendiri, tidak tahu kuasanya sendiri untuk membuat peraturan-peraturan? SPR sudah membuat Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, yang menetapkan kategori-kategori orang yang berhak mengundi secara pos. Tambahan pula, peraturan 3(f) Peraturan-Peraturan tersebut secara khususnya membenarkan SPR mewartakan kategori-kategori pengundi pos yang baru tanpa mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong atau Dewan Rakyat. SPR telah menggunakan kuasa ini secara senyap-senyap untuk mewartakan pasangan kepada pegawai polis Pasukan Gerakan Am, yang sebelum itu tidak layak menjadi pengundi pos atau pengundi tak hadir, sebagai pengundi pos.

Untuk memesongkan perhatian rakyat daripada ketidakgiatan sengaja mereka selama tiga belas bulan, Abdul Aziz dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, telah berkali-kali meluahkan kekecewaan mereka kerana tidak ramai warga Malaysia di luar negara yang telah mendaftar untuk mengundi dari luar negara. Akan tetapi, buat masa ini warga Malaysia yang bukan kakitangan kerajaan atau pelajar adalah dilarang mendaftar sebagai pengundi tak hadir.

Rakyat Malaysia telah muak dengan penipuan dan ketidakgiatan yang ditunjukkan oleh Pengerusi SPR dan Timbalannya. Jelas sekali bahawa tujuan mereka selama ini adalah untuk memperdaya warga Malaysia di luar negara dengan janji-janji kosong tanpa sebarang niat melaksanakan pengundian secara pos dari luar negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Bagi pihak sejuta warga Malaysia di luar negara, MyOverseasVote menuntut supaya mereka meletakkan jawatan dengan serta-merta, dan memohon perkenan ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi baru yang boleh mendapat keyakinan rakyat Malaysia.

MYOVERSEASVOTE

London, 19hb Sept 2012

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s